Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan kerajaan meminta pengusaha kilang-kilang di seluruh negara untuk menanggung pembelian vaksin Covid-19 kepada pekerja mereka terutamanya warga asing.

Ketua Penerangannya, Wan Mohd. Husni Abdullah dalam satu kenyataan berkata, langkah itu merupakan situasi menang-menang di antara kerajaan dan pihak industri.

Ini susulan tiada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh kerana mahu membenarkan industri-industri terus beroperasi meskipun hampir 50 peratus kes Covid-19 berpunca dari industri pengilangan.

Katanya, hasil kajian MBM mendapati kos pembelian vaksin juga masih dalam kategori munasabah dan boleh disediakan oleh pihak majikan.

Sebagai contoh kos bagi vaksin Sinovac dari China dan AstraZeneca (Britain) berharga sekitar AS$5 (RM20.70) bagi setiap dos.

Jika dilaksanakan, MBM percaya kaedah ini mampu membantu kerajaan menjimatkan kewangan negara selain alternatif kepada tidak perlu pelaksanaan PKP penuh.- MalaysiaGazette