Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Semua negara dan pemimpin Muslim di dunia diseru supaya mendesak penyelesaian terhadap isu Palestin dan menolak penyelesaian terhadap dua negara.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menuntut negara-negara Arab yang diperbudakkan dalam normalisasi dengan rejim zionis untuk menarik diri daripada perjanjian tersebut.

“Kami menyeru tuntutan daripada semua negara Muslim di bawah OIC untuk mewujudkan mekanisme pertahanan antarabangsa untuk melindungi rakyat Palestin.

“Kami mengulangi perlunya semua negara Muslim melakukan boikot ekonomi dan sosial terhadap rejim zionis dan mengenakan sekatan politik dan perdagangan strategik secara sistematik ke atas rejim tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi menegaskan, mengulangi penyelesaian dua negara untuk isu Palestin adalah bertentangan dengan semua realiti di wilayah jajahan di Tebing Barat dan di Gaza yang merupakan satu wilayah terkepung.

Katanya, sejak Perjanjian Oslo 1993, Israel telah melengahkan masa untuk memungkin ia menempatkan pendudukan Yahudi di semua tanah Palestin yang masih terbaki.

Pada hakikatnya kata beliau, peraturan satu negara oleh rejim zionis sedang berlaku dan ia berfungsi sepenuhnya dengan sistem apartheid di bumi Palestin.

“Malangnya, masyarakat dunia tidak dapat bertindak keatas rejim zionis itu, ketika secara terang-terangan penempatan penduduk haram Yahudi di tanah Palestin terus berlanjutan secara agresif.

“Rezim zionis tidak mempunyai niat untuk mengembalikan tanah yang mereka rampas secara paksa…Pemusnah rumah kediaman Palestin dan pengusiran dari tanah mereka menandakan nekad rejim zionis terhadap pendiriannya bahawa hanya akan ada satu negara dan itu adalah Israel.

“Rakyat Palestin akan menjadi warga yang ditundukkan di bawah undang-undang apartheid dan populasi mereka beransur-ansur akan dikurangkan.

“Kami menolak penyelesaian dua negara sebagai penyelesaian yang disebut-sebut itu walaupun regim zionis terus mempertahankan penjajahan yang sama sekali bertentangan dengan keadilan dan hak rakyat Palestin,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Tolak penyelesaian dua negara konon, sedangkan nak ambil balik semua tanah rizab Melayu yang kini tinggal hanya 12% termasuk tanah Melayu tergadai free kepada majority kaum asing dari Tanah Besar Cina dan India di Singapore dan Penang pun macam OKU jer.

Comments are closed.