Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Sabah menghadkan pengunjung berada dalam premis perniagaan selama tidak lebih daripada satu jam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dikehendaki untuk menetapkan bilangan pengunjung 50 peratus daripada kapsiti ruang premis.

Jelas beliau, ketetapan terbaharu ini, berkuatkuasa kepada pusatĀ  beli belah, pasar raya, kedai runcit dan sebagainya bermula 25 Mei 2021.

Perubahan waktu operasi perniagaan di seluruh Sabah itu selaras dengan langkah kerajaan Pusat mengetatkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, termasuk menghadkan operasi perniagaan sehingga 8 malam.

Semalam, beliau yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan memaklumkan bahawa Sabah turut mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu, dengan memendekkan operasi semua jenis perniagaan sehingga jam 9 malam.

Walau bagaimanapun, bagi operasi restoran, termasuk restoran dalam hotel dibenarkan bermula pada jam 6 pagi sehingga 10 malam.

Sebelum ini, operasi perniagaan di Sabah dibenarkan bermula pada jam 6 pagi sehingga jam 12 tengah malam dengan mengekalkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan pada bulan lalu.- MalaysiaGazette