Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar (kiri) memberi sumbangan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Nor Azmie Diron (kanan) ketika di majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin ketika di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 MEI 2021.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor mensasarkan sehingga RM1 juta dalam tempoh 10 hari bagi Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin untuk membantu rakyat Palestin meneruskan kelangsungan hidup selepas insiden berdarah sejak akhir Ramadan lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun pihaknya baru sahaja menubuhkan tabung kemanusiaan itu, pihaknya telah menerima sumbangan sehingga RM223,957.77 daripada pelbagai pihak.

“Ini adalah usaha dan ikhtiar kita supaya kita dapat melaksanakan program-program kemanusiaan di tempat-tempatain sekian Selangor termasuk di luar negara.

“Projek pertama kita hari kerjasama antara kerajaan negeri Global Peace Mission Malaysia.

“Hasil kutipan ini akan disalurkan untuk menyediakan Selangor Aid Truck (SELaid), ambulans dan keperluan perubatan lain untuk kegunaan rakyat Palestin,” katanya berucap merasmikan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, keseluruhan kutipan hari ini berjumlah RM 223,957.77 akan dimanfaatkan oleh Global Peace Mission Malaysia untuk mangsa-mangsa di Palestin.

“Sumbangan ini juga akan sampai sebab Global Peace Mission Malaysia bukan setahun bahkan mereka sudah 20 tahun dalam arena kemanusiaan di dalam negara dan luar negara.

“Mereka telah melahirkan banyak program termasuk mengusahakan ambulans kerana perubatan adalah masalah utama di bumi Gaza akibat peperangan yang berpanjangan,” katanya.

Antara penyumbang terawal tabung ini adalah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) sebanyak RM107,930; Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) (RM67,000); Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) (RM21,250) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia Selangor (RM10,000).

Tabung ini turut menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berjumlah RM7,777.77 serta sumbangan peribadi Menteri Besar sendiri berjumlah RM10,000. – MalaysiaGazette