logo polis
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menggempur sebuah apartmen di Bandar Bukit Jalil, Cheras. yang dijadikan tempat simpanan bekalan dan edaran ganja.

Ketua polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya bertindak atas maklumat 12 tengah malam pada 16 Mei lalu berjaya menahan tiga lelaki dan seorang perempuan tempatan berusia lingkungan 28 hingga 45 tahun.

Pemeriksaan yang dijalankan di dalam bilik rumah tersebut menemui syabu anggaran seberat 5.182 kilogram, serbuk ekstasi seberat 299.4 gram, pil Eramin 5 0.3 gram pil ekstasi 5.7 gram dan sekeping asid lisergik dietlimida (LSD) serta ketamin seberat 0.6 gram.

Kesemua dadah berkenaan yang dirampas  bernilai RM204,943, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Anuar berkata, semua suspek yang menjalani saringan air kencing didapati positif dadah Methamphetamine.

Menurutnya, keempat-empat suspek termasuk wanita itu direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan dengan kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Tambah Anuar, hasil semakan mendapati keempat-empat suspek mempunyai rekod lampau dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan lanjut mendapati wanita berkenaan adalah kenalan rapat kesemua suspek dan mereka menyewa apartmen itu pada harga RM1,000 dan tinggal di situ sejak setahun lalu,” katanya.

Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 10,600 orang penguna dadah.

Anuar berkata, polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan yang diperoleh.

Katanya, dengan tangkapan tersebut, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warganegara Malaysia bagi pasaran Lembah Klang. – MalaysiaGazette