rabies Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia 45 tahun di Sarawak meninggal dunia akibat akibat rabies.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wanita terbabit mempunyai sejarah digigit anjing peliharaannya di tangan kiri semasa meleraikan anjingnya yang sedang bergaduh dengan anjing lain pada 9 Mac lalu.

Katanya, wanita terbabit telah diberikan rawatan di Klinik Kesihatan Tepus dan suntikan anti-tetanus.

Namun, beliau telah tercicir daripada mendapat rawatan susulan.

“Wanita ini mengadu sakit mata, lemah badan dan kebas di bahagian tangan kiri semasa hadir mendapatkan suntikan dos kedua pada 2 Mei 2021 lalu dimasukkan ke wad di Hospital Sibu untuk rawatan.

“Sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus rabies telah diambil dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 5 Mei lepas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Noor Hisham berkata, keadaan pesakit semakin merosot dan meninggal dunia pada 6 Mei 2021 pukul 7.13 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis.

Dengan pertambahan kes terbaharu itu, jumlah terkini kes rabies di Sarawak untuk tahun ini sebanyak tiga kes.

Sejak wabak rabies diisytiharkan pada 1 Julai 2017 di Sarawak, jumlah kes adalah 34 dengan 32 kematian.

Terdapat dua kes kanak-kanak yang masih hidup dengan komplikasi neurologi yang teruk.

Jelasnya, luka gigitan haiwan yang mempunyai jangkitan rabies boleh menyebabkan kematian jika tidak diberi tindakan rawatan segera.

Justeru, Noor Hisham menasihati orang awam khususnya di Sarawak agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan virus rabies. – MalaysiaGazette