Gambar hiasan

KUANTAN – Akibat tertekan dengan masalah peribadi, seorang wanita warga asing maut  selepas menggantung diri dalam bilik air sebuah hotel di Genting Highlands dalam kejadian pagi Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, Balai Polis Genting Highlands menerima panggilan daripada pengurus sebuah hotel yang terletak di pusat peranginan itu pada jam 4.36 pagi.

Sejurus menerima panggilan, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat seorang wanita gantung diri pada rel besi langsir menggunakan seluar tidur.

“Wanita warga asing yang berusia 32 tahun ini datang ke Malaysia pada awal tahun 2021 dan menginap di Hotel Genting Highlands sehingga hari kejadian.

“Hasil temubual pihak polis dengan rakan-rakannya mendapati mangsa dalam keadaan tertekan disebabkan masalah peribadi.

“Pada hari kejadian mangsa bersama rakan-rakannya sedang berbual di biliknya, tiba-tiba mangsa bergegas ke bilik air dan mengunci pintu.

“Rakan-rakan mangsa cuba membuka pintu bilik air dan memanggilnya tetapi tiada jawapan.

“Rakan mangsa telah melaporkan kejadian kepada pihak pengurusan hotel dan selanjutnya pihak pengurusan hotel telah melaporkan kejadian kepada pihak polis,” ujar Zaiham ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong dan pihak forensik  mendapati tiada sebarang unsur jenayah ke atas tubuh mangsa.

Walau bagaimanapun bedah siasat akan dilakukan ke atas mangsa pada hari ini. – MalaysiaGazette