Pengarah HKL, Datuk Dr. Heric Corray bercakap pada sidang media khas mengenai kemalangan dua LRT yang bertembung dari arah Gombak dan Kelana Jaya di Hospital Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 25 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 61 mangsa insiden pelanggaran membabitkan tren LRT Laluan Kelana Jaya telah dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr Heric Corray, enam lagi mangsa masih berada di HKL termasuk tiga yang masih kritikal.

Katanya, dua daripada mangsa kemalangan itu mengalami patah tulang, sementara seorang lagi cedera di bahagian dada dan hati.

“Tiga pesakit dimasukkan ke ICU dengan kecederaan pendarahan otak, dua memerlukan pembedahan dan seorang lagi memerlukan rawatan ICU.

“Ketiga-tiga yang berada di ICU berada dalam keadaan yang sangat kritikal.

“Dua mengalami patah tulang, yang mana satu mangsa dimasukkan ke wad dan satu lagi masih di Jabatan Kecemasan dan menunggu untuk masuk ke ortopedik. Manakala, satu lagi di wad pembedahan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, 19 mangsa dimasukkan ke zon kuning dan 18 daripadanya telah discaj hari ini.

Manakala di di zon hijau pula 42 mangsa yang hanya mengalami kecederaan ringan telah mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Daripada jumlah itu, 39 penumpang hanya mengalami kecederaan tisu biasa.

“Sebanyak 300 anggota HKL terlibat dalam pemberian rawatan kepada mangsa kemalangan,” kata Dr Heric lagi.

Ditanya mengenai ujian saringan Covid-19, Dr Heric berkata ia hanya dibuat kepada pesakit yang dimasukkan ke wad sahaja.

“Bukan semua kita jalankan ujian saringan hanya mereka yang memerlukan untuk dimasukkan dalam wad sahaja yang kita lakukan saringan tapi kita bagi keutamaan kepada kecederaan yang mereka terima. Anggota HKL telah menggunakan PPE yang sempurna untuk melindungi diri mereka,” katanya lagi.

Dalam kejadian pada pukul 8.45 malam tadi, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah akibat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya.

Kejadian berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru, melibatkan satu tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji. – MalaysiaGazette