Iman Troye.

KUALA LUMPUR – Penyanyi muda Iman Troye terpaksa menyahaktif akaun Twitternya sejak semalam selepas memuat naik satu ciapan berbaur sindiran.

Dia dikecam netizen kerana didakwa kurang sensitif tentang isu Covid-19.

Menerusi satu ciapan yang dimuat naik dalam Twitternya, Iman Troye atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Shahabudin telah menulis satu kenyataan sinis tetang statistik kes jangkitan harian Covid-19 pada Ahad lalu.

“Happy 6.9K everyone. Congratulations. (Selamat 6.9 ribu semua. Tahniah.) Harap esok dapat 7,000,” ciapnya.

Ekoran daripada gurauan tersebut, Iman Troye menjadi perhatian pengguna Twitter apabila dia dituduh sebagai tidak sensitif di saat negara sedang berusaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Kecaman bertalu-talu oleh pengguna Twitter yang lainnya menyebabkan penyanyi yang popular menerusi lagu Teman itu menutup akaun Twitternya.

Akibat kecaman itu, nama Iman Troye juga paling disebut-sebut dalam Twitter selepas muncul dalam lebih 18,000 ciapan.

Selain dinilai sebagai tidak sensitif, Iman Troye juga dikecam seolah-olah tidak menghormati perasaan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus membantu pesakit yang dijangkiti Covid-19.

Pada Ahad lalu, Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi Covid-19 dengan jumlah 6,976 kes sehingga ramai yang mendesak supaya pihak kerajaan melaksanakan perintah berkurung (total lockdown) di seluruh negara.

Hari ini, Malaysia sekali lagi mencatatkan jumlah kes harian Covid-19 tertinggi iaitu sebanyak 7,289 kes. – MalaysiaGazette