Dr Adham Baba

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes Covid-19 bagi kluster keagamaan ketika ini berpunca daripada aktiviti dan pergerakan orang ramai sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setakat semalam 40 kluster keagamaan dikenal pasti termasuk 19 di Johor, Selangor (13) dan lapan kluster di negeri lain seperti Melaka, Negeri Sembilan serta Kelantan.

“Ketika ini kes kluster keagamaan direkodkan berdasarkan kes jangkitan yang berlaku sepanjang Ramadan dan pada hari raya.

“Kluster ini meningkat bergantung kepada pergerakan dan mobilisasi orang ramai. Jika kita dapat kurangkan mobilisasi bermakna lebih peluang untuk hidup, turunkan kadar kebolehjangkitan dan bendung Covid-19,” katanya dalam sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.

Dalam perkembangan lain, Adham berkata rawatan terhadap mangsa kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya tidak menjejaskan pengurusan rawatan untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata, seramai 64 mangsa yang cedera dalam insiden itu ditempatkan di wad HKL, dengan enam daripada mangsa kritikal manakala tiga memerlukan bantuan alat pernafasan dan tiga lagi berada di bilik pembedahan.

“Wad Covid-19 di HKL tidak terganggu dan masih boleh menggunakan kemudahan peralatan perubatan sedia ada.

“Ventilator sudah diagihkan untuk kes tertentu di wad Covid-19, unit rawatan rapi (ICU) dan kritikal. Ini tidak mengganggu kegiatan biasa dan kegiatan merawat pesakit Covid-19,” ujarnya.

Dua tren LRT laluan Kelana Jaya, sebuah membawa penumpang dan sebuah lagi tren rosak yang sedang dipandu uji bertembung dalam kejadian pada 8.45 malam semalam di kawasan terowong antara Stesen Kampung Baru dan KLCC, menyebabkan 213 penumpang cedera. – MalaysiaGazette