KERAJAAN Malaysia diyakini berkeupayaan untuk menawarkan diri bagi mengetuai serta mencari jalan penyelesaian muktamad berhubung isu melibatkan sengketa antara Palestin dan Israel.- Gambar hiasan. Foto MOHD ADZLAN.

KERAJAAN Malaysia diyakini berkeupayaan untuk menawarkan diri bagi mengetuai serta mencari jalan penyelesaian muktamad berhubung isu melibatkan sengketa antara Palestin dan Israel.

Ini kerana Malaysia dengan sikap berkecuali dalam banyak isu telah terbukti berjaya menyelesaikan pelbagai perbalahan termasuk di selatan Thailand, Mindanao, Lebanon dan beberapa negara lagi.

Malah, sikap Malaysia yang sentiasa berkecuali juga sering menjadi rujukan termasuk dari negara-negara di Asia Barat yang sentiasa bergolak.

Usaha menawarkan diri mengetuai penyelesaian isu Palestin-Israel itu perlu disegerakan kerana seperti biasa gencatan senjata yang ada sekarang tidak mampu bertahan lama.

Oleh itu, Malaysia boleh menggerakkan peranan Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebagai Menteri Luar, selain Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang lantik sebagai Duta Khas mewakili Perdana Menteri ke Timur Tengah.

“Kita yakin dengan pengetahuan serta pengalaman luas Malaysia termasuk dalam menghantar pasukan pengaman seperti di Bosnia, Lebanon, Somalia dan sebagainya, dapat dijadikan kekuatan untuk kita mengetuai sertai mencari jalan penyelesaikan berhubung isu Palestin dan Israel.

“Jika dilihat pendekatan yang diguna oleh kerajaan Malaysia, kita sentiasa berlaku adil serta berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana negara pun.

“Faktor-faktor ini menyakinkan bahawa Malaysia berkeupayaan menawarkan diri mengetuai pelan penyelesaian menyeluruh terhadap sengketa Palestin dan Israel,” Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Raja, Wan Dzahanurin Ahmad baru-baru ini.

Menurut Wan Dzahanurin, jika Malaysia ditawarkan mengetuai pelan penyelesaian, maka negara-negara bersengketa termasuk di Asia Barat dan kuasa besar perlu memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi.

“Malaysia boleh melakukan tugas mencari penyelesaian, namun perlu disokong oleh semua negara dan juga PBB serta OIC,” ujarnya.

Beliau berkata, Malaysia memiliki keupayaan mencari jalan penyelesaian bukan bermakna kerajaan hendak melepaskan tangan berhubungan isu Covid-19 dan masalah rakyat.

“Kita yakin kerajaan akan tetap beri keutamaan dan fokus kepada isu rakyat, namun sengketa serantau antara Palestin dan Israel juga perlu diberi perhatian kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan ia merebak serta memberi tempias kepada keamaan dunia,” katanya.- MalaysiaGazette

 

Wan Dzahanurin

 

Wan Dzahanurin Ahmad,  Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Raja