Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Dana Pembangunan Modal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCDF), melalui program Centre for Financial Health, melancarkan program inovasi untuk membangunkan ekosistem inovasi fintech Islam yang rancak dalam pasaran modal Islam (ICM) Malaysia.

Program yang dikenali sebagai FIKRA Islamic Fintech Accelerator (FIKRA) dilancarkan hari ini dengan inisiatif pertamanya, pemecut (accelarator) pertama yang memberi tumpuan kepada fintech untuk ICM di Malaysia.

FIKRA bertujuan untuk mengenal pasti dan menilai penyelesaian fintech Islam yang relevan dan inovatif yang dapat membantu menangani tiga bidang cabaran utama, iaitu, penawaran ICM baharu, kemudahan akses dan integrasi kewangan sosial.

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata:”Fintech Islam dalam pasaran modal Malaysia masih pada tahap yang baru, tetapi mempunyai potensi besar untuk berkembang pesat dengan ekosistem yang tepat.

Pemecut tersebut dan inisiatif selanjutnya di bawah FIKRA akan memacu pembangunan fintech Islam di samping mewujudkan ekosistem yang memupuk bakat, dana inovasi, mengkomersialkan idea dan penyelesaian, serta mewujudkan pekerjaan dan peluang.

FIKRA direka bentuk untuk mengubah idea menjadi penyelesaian hidup nyata yang membawa penginovasi melalui keseluruhan rantaian nilai daripada penghasilan idea, pengesahan penyelesaian, pembangunan prototaip, melaksanakan pengumpulan dana, sehingga mempersiapkan pemohon untuk menarik bakal pelabur secara berkesan dan lain-lain lagi.

Syarikat pemula niaga (start-up) Fintech yang mengambil bahagian dalam inisiatif pemecut pertama FIKRA akan mendapat manfaat daripada panduan kawal selia, bimbingan program, rangkaian sosial, dan lain-lain.

Metodologi yang digunakan UNCDF untuk program ini adalah berdasarkan pengalamannya sebelum ini menyahut cabaran inovasi melalui Makmal Inovasi Kewangan (FinLab) mereka dan kini diperkembangkan untuk menangani inisiatif berkaitan kewangan di bawah Centre for Financial Health

“Untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), adalah penting untuk memastikan bahawa penawaran produk menumpukan kepada daya tahan dan keselamatan kewangan bagi mereka yang menerima khidmat kami.

“Ketika kami berusaha untuk meningkatkan penyertaan pasaran, FIKRA akan menjadi saluran bagi para penginovasi untuk mengembangkan penyelesaian mereka yang berpotensi emberikan dorongan yang amat diperlukan dan tepat pada masanya untuk ICM Malaysia.

”Kami berharap akan menjalin kerjasama dengan SC dalam inisiatif inovatif ini,” menurut Preeti Sinha, Setiausaha Eksekutif UNCDF. – MalaysiaGazette