nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) meminta Kementerian Pengangkutan mengeluarkan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) untuk semua penerbangan ketika penguatkuasaan PKP 3.0 berlangsung.

Sekretariat NUFAM mendakwa jadual penerbangan masih berjalan tetapi sehingga hari ini, SOP PKP 3.0 tidak dimaklum dengan jelas oleh MOT kepada industri penerbangan.

Malah garis panduan penerbangan ini tidak termasuk dalam senarai atau disebut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, sekiranya kerajaan mahu betul-betul mengetatkan SOP bagi semua kawasan dan industri, sektor penerbangan sepatutnya tidak ketinggalan.

Jelas NUFAM, apabila tiada SOP ketat dikenakan kepada sektor ini, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa industri penerbangan itu tidak mempunyai sebarang SOP PKP 3.0 yang jelas.

”Sedangkan ramai yang bekerja dalam sektor penerbangan ini masih tertanya-tanya kerana SOP dalam pesawat masih longgar.

“Malah, ia juga memberi ruang bebas kepada mereka yang mahu merentas ketika kes Covid-19 sedang melonjak,” ujarnya.

Lantaran itu, NUFAM mahu MOT menjelaskan garis panduan penerbangan tersebut dengan segera untuk mengelakkan sebarang kekeliruan berlaku antara pekerja dengan penumpang.

”Kita tidak mahu juga pesawat pesawat ini dimuat dengan padat seperti mana yang berlaku pada PKP yang lalu.

”Ia susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan semalam yang mengatakan ada penumpang yang masuk melalui penerbangan dari India disahkan dijangkiti dengan varian India.

“Ini amat membimbangkan ramai pihak,” katanya. – MalaysiaGazette