Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 26 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam Op Benteng yang dilakukan pihak berkuasa semalam.

Menteri kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut dirampas tiga buah kenderaan darat dalam operasi itu.

Beliau berkata, sebanyak 182 buah bot dan kapal pula dikesan di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan.

Op Benteng yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 460 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam.

Dalam pada itu Ismail Sabri dalam kenyataan harian berkata, seramai 628 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak memakai pelitup muka (162); gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (158); tidak patuh arahan kawalan pergerakan (80); rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (61); tiada penjarakan fizikal (47) dan lain-lain (120).

Ujarnya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan sebanyak 77,028 pemeriksaan semalam.

Ia melibatkan 4,396 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 16,107 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang PKP. – MalaysiaGazette