Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran bergambar pada Pencalonan Presiden Parti MIC Penggal 2021-2024 di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Seperti dijangka, Tan Sri S A Vigneswaran dipilih sebagai Presiden MIC bagi penggal 2021-2024 selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu hari ini.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Presiden, Tan Sri G Rajoo selepas Vigneswaran tidak dicabar mana-mana pihak apabila proses pencalonan ditutup pada jam 1 tengah hari tadi.

Rajoo memberitahu, Vigneswaran yang merupakan penyandang jawatan tersebut telah menerima sokongan 3,620 daripada 3,808 cawangan MIC di seluruh negara.

Katanya, ada cawangan yang tidak dapat mengundi berikutan pelbagai isu termasuklah tuntutan garis panduan Covid-19 yang telah menyekat pergerakan, selain daripada isu lain.

S.A Vigneswaran (dua kiri) menerima surat watikah pelantikan daripada G Rajoo selepas memenangi jawatan Presiden Parti MIC Penggal 2021-2024 tanpa bertanding di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 MEI 2021.

“Saya dengan ini membuat deklarasi Tan Sri Vigneswaran dengan sah akan menjawat jawatan Presiden MIC bagi penggal 2021 sehingga 2024 dengan pencalonan sebanyak 1,810 borang pencalonan.

“Beliau telah menang tanpa sebarang pertandingan dalam pemilihan Presiden MIC bagi penggal ini selama tiga tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat MIC di Jalan Rahmat sebentar tadi.

Vigneswaran mula menerajui MIC pada tahun 2018.

Dalam pada itu, proses penamaan calon di ibu pejabat MIC  berjalan lancar dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.  – MalaysiaGazette