Dua wanita antara ditahan berpesta arak dan dadah di sebuah hotel di Sungai Petani, Kedah hari ini.

SUNGAI PETANI – Enam individu termasuk dua wanita ditahan sedang berpesta arak dan dadah di sebuah hotel di Jalan Persiaran Cinta Sayang di sini awal pagi tadi.

Serbuan Ops Cantas/Ops Covid jam 1.30 pagi itu turut membawa kepada penemuan dadah jenis ketamin dalam milikan salah seorang suspek.

Mereka yang ditahan terdiri daripada pembantu kedai, pemandu lori serta pekerja kedai cuci kereta.

Ketua Polis Daerah Sungai Petani, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil pemeriksaan ke sebuah bilik di hotel berkenaan mendapati kesemua mereka berusia lingkungan 17 hingga 33 tahun sedang berkumpul sambil minum minuman keras dan menghisap dadah.

Enam individu dikompaun berpesta arak dan dadah di sebuah hotel di Sungai Petani hari ini.

“Hasil soal siasat kesemua mengaku berkumpul untuk berparti di bilik hotel tersebut

“Pemeriksaan lanjut, polis menemui satu paket plastik lut sinar berisi dadah jenis ketamin dalam milikan seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga positif dadah.

“Semakan lanjut ke atas lelaki terbabit menunjukkan dia mempunyai empat rekod lampau termasuk pernah dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Adzli, kesemua mereka dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 setiap seorang kerana kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Manakala suspek positif dadah itu pula direman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021,” ujar Adzli. – MalaysiaGazette