Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Kerajaan harus mempertimbangkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh jika angka jangkitan Covid-19 tiada tanda-tanda penurunan.

Sultan Johor bertitah: “Biar kita telan ubat yang pahit sekarang daripada menanggung sakit yang melarat dan berterusan”.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, baginda amat bersimpati dengan semua petugas barisan hadapan terutamanya kakitangan perubatan, yang terpaksa menanggung bebanan besar yang dibawa virus ini.

”Kepenatan dan kegelisahan mereka jelas kelihatan, namun mereka tetap menjalankan tugas sebaik mungkin. Ingat, bukan Covid-19 sahaja penyakit yang perlu mereka tangani.

”Kasihanilah mereka. Kita semua harus bersatu memainkan peranan untuk mengurangkan beban mereka dan putuskan rantaian jangkitan demi kebaikan kita semua,” titah baginda lagi.

Royal Press Office (RPO) memaklumkan Sultan Johor telah bertitah dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi perbualan telefon dan disembah maklum tentang situasi terkini Covid-19.

”Kemunculan varian-varian baharu juga amat menakutkan yang kini boleh dibawa udara (airborne). Jika jangkitan terus menular, saya risau akan bertambah-tambah lagi varian virus berbahaya ini.

“Dalam keadaan tidak menentu kini juga, saya menyeru kepada pihak yang berkemampuan untuk tampil membantu mereka yang telah ditimpa kesusahan dalam apa jua bentuk yang boleh,” titah baginda.

Lantaran itu, baginda menggesa semua lapisan masyarakat untuk bersikap komited kepada saranan ‘self-lockdown’ bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Menurut baginda, semalam sahaja kes jangkitan Covid-19 merekodkan lebih 7,400 kes dan ini amat membimbangkan.

Lantaran itu, semua pihak perlu duduk di rumah bagi memutuskan rangkaian jangkitan kerana virus itu tidak bergerak, tetapi disebarkan melalui pergerakan orang ramai.

”Kita bukan hanya perlu berdisiplin untuk tidak keluar dari rumah, tetapi kita juga perlu ada kesedaran bahawa tindakan kita keluar ke tempat awam mahupun rumah jiran sahaja, akan menyebabkan kita terjangkit atau kita sendiri menjadi pembawa dan menjangkiti orang lain. Jangan pentingkan diri sendiri, fikirlah juga orang lain!

”Justeru, semua mesti berdisiplin dan komited bagi menghalang kita semua terjerumus ke dalam situasi yang lebih parah lagi,” titah baginda. – MalaysiaGazette