Sebuah tapak pembinaan rumah teres di Bertam Putra, Pulau Pinang diarah henti kerja selama tujuh hari.

BERTAM –  Kontraktor sebuah tapak pembinaan rumah teres di Bertam Putra di sini dikompaun RM20,000 selain diarahkan menghentikan operasi selama tujuh hari susulan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Notis berhenti operasi itu dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Pulau Pinang susulan kontraktor projek gagal mematuhi SOP di tapak pembinaan tersebut.

Operasi bersepadu pemantauan pematuhan SOP Covid-19 selama dua jam bermula jam 11.30 pagi itu turut menyaksikan pihak kontraktor gagal menyediakan kod QR MySejahtera untuk diimbas pekerja sebaliknya memberi alasan kehadiran pekerja dicatit di buku log.

Noorzainy.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam serbuan tersebut kira-kira 50 pekerja warga asing bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan 28 pekerja asing yang  gagal mengemukan dokumen saringan ujian Covid-19.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati pihak kontraktor gagal menyediakan kod QR MySejahtera dan alasan kontraktor pekerja menulis kehadiran di buku log tidak munasabah memandangkan kesemua pekerja tersebut memiliki telefon bimbit.

Pekerja asing wanita antara ditahan gagal kemukakan dokumen saringan ujian Covid-19.

“Menyediakan kod QR MySejahtera boleh dikatakan sebagai satu perkara asas ketika ini bagi membolehkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan penularan Covid-19 di lokasi pembinaan tambahan pula, tapak pembinaan ini terletak berhampiran perumahan yang diklasifikasikan zon merah.

“Susulan itu, kita mengeluarkan kompaun berjumlah RM20,000 kepada kontraktor dan kesemua pekerja asing itu dibawa ke balai polis untuk menyemak dokumen saringan ujian Covid-19,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.

Turut serta dalam operasi bersepadu itu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), KKM, Majlis Bandaraya Seberang Perai serta CIDB.

Sementara itu, Pengarah CIDB Pulau Pinang, Zahidi Hashim berkata, selain mengarahkan pemberhentian operasi selama tujuh hari, CIDB turut mengeluarkan notis kepada kontraktor utama bagi mendapatkan maklumat pekerja di tapak pembinaan tersebut.

Pihak polis memeriksa dokumen pengenalan diri pekerja di tapak pembinaan.

“Pihak kontraktor memaklumkan seramai 81 pekerja asing bekerja di tapak pembinaan itu, namun hasil pemeriksaan kita temui 28 individu sahaja.

“Susulan itu, mereka diminta kemukakan maklumat semua pekerja untuk siasatan lanjut,” ujar Zahidi.

Dalam serbuan sama, Pengarah JTK Butterworth, Nazrah Yusof menegaskan, pihaknya menemui lokasi penginapan pekerja asing yang tidak mencapai standart yang ditetapkan mengikut Perakuan Penginapan di bawah Akta 446.

Nazrah (depan) memeriksa kawasan penginapan pekerja di tapak pembinaan tersebut.

“Hasil pemeriksaan di stor simpanan bahan pembinaan kita temui pelbagai peralatan yang menunjukkan ada pekerja asing tidur serta masak dalam tapak pembinaan ini.

“Susulan itu, kita minta pihak kontraktor kemukakan notis bagi memastikan mereka mempunyai kelulusan untuk tinggal di sana atau sebaliknya,” katanya Nazrah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast