Dr. Adham Baba.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menzahirkan penghargaan kepada hospital-hospital swasta kerana meningkatkan bilangan jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan, terdapat hospital-hospital swasta yang telah meningkatkan kapasiti bilangan katil yang dikhususkan untuk pesakit Covid-19.

Ujarnya, KKM menyambut baik langkah IHH Healthcare Malaysia yang telah menambah bilangan katil yang dikhususkan untuk Covid-19 meliputi 16 hospital di bawah rangkaian syarikat berkenaan di seluruh Malaysia.

“Daripada 196 kepada 251 katil serta katil ICU, daripada 17 katil ICU kepada 44 katil ICU.

“Sehingga kini, terdapat 110 buah hospital swasta yang telah bersetuju memberikan rawatan kepada pesakit Covid-19 dengan menyediakan 1,173 katil wad dan 119 katil ICU khusus bagi rawatan pesakit Covid-19 meliputi kategori 1 hinga 5,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Adham berkata, maklumat harian yang dikemukakan oleh hospital swasta kepada KKM juga menunjukkan hospital-hospital swasta lain turut menyediakan bantuan yang signifikan seperti KPJ Healthcare Berhad yang telah menyediakan 213 katil wad serta 20 katil ICU bagi merawat pesakit Covid-19.

Secara kumulatif, hospital swasta telah pun meningkatkan sebanyak 57 katil wad dan 25 katil ICU lagi bagi merawat Covid-19. – MalaysiaGazette