Seorang lelaki mati ditembak polis dalam satu kejadian di Kampung Ulu Mahang, Kulim, Kedah hari ini.

KULIM – Seorang lelaki yang dipercayai berada dalam pengaruh dadah mati ditembak selepas menyerang anggota polis menggunakan parang dalam satu kejadian di Kampung Ulu Mahang di sini hari ini.

Lelaki berusia 44 tahun itu mati di lokasi kejadian selepas terkena tembakan pada bahagian rusuk kirinya.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pukul 11 pagi mengatakan seorang lelaki bersenjatakan parang mengamuk di kawasan perumahan di Ulu Mahang.

Katanya, dua anggota polis dikerahkan ke lokasi kejadian sebelum mendapati seorang warga emas cedera pada bahagian jari akibat amukan lelaki itu.

Seorang lelaki serang polis dengan parang mati ditembak hari ini.


“Anggota polis cuba mengawal keadaan dengan memujuk lelaki menyerah diri, namun dia bertindak melarikan diri dari kediaman tersebut ke sebuah bangsal yang terletak kira-kira satu kilometer.

“Susulan itu, seorang daripada anggota polis tersebut cuba mendekati lelaki itu untuk memujuknya dan ketika berada dalam jarak tiga meter, dia tiba-tiba bertindak menyerang anggota menggunakan parang.

“Bagi menyelamatkan diri, seorang lagi anggota yang berada di lokasi melepaskan dua das tembakan dan salah satu terkena pada bahagian rusuk kiri lelaki tersebut sebelum dia disahkan mati,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim hari ini.

Menurut Mohd Roze, hasil pemeriksaan pihak polis menemui dadah serta peralatan menghisapnya di dalam bangsal tersebut.

Turut dirampas parang serta kain yang digunakan untuk membalut senjata itu.

“Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu bukan penduduk kawasan berkenaan dan dipercayai datang dari kawasan Serdang, Bandar Baharu menunggang sebuah motosikal.

“Selain itu, semakan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod lampau termasuk dadah.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini termasuk punca lelaki itu menyerang warga emas berkenaan,” ujar Mohd Roze.

Tambah beliau, warga emas yang diserang itu berada dalam keadaan stabil selepas menerima lima jahitan manakala mayat lelaki terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette