Tiga suspek yang berjaya dirakam menerusi CCTV dalam kejadia curi tabung masjid di Pusat Perniagaan Seri Saujana, Johor.

JOHOR BAHRU – Sekumpulan lelaki ‘geng’ curi tabung masjid dan tabung anak-anak yatim yang diletakkan di kedai-kedai semakin bergerak aktif di sekitar Pusat Perniagaan Seri Saujana, dekat sini sejak kebelakangan ini.

Pemilik restoran masakan panas, Azizan Inche Harun berkata, kedainya turut menjadi mangsa apabila tabung masjid yang diletakkan di kedainya juga dicuri tiga lelaki bermotosikal awal pagi tadi.

Beliau yang kesal dengan kejadian itu berkata, dia mula menyedari kejadian itu selepas mendapati tempat letak tabung yang disediakan kosong sebaik sahaja tiba di restoran sekitar jam 11 pagi.

“Perniagaan saya beroperasi pada jam 11 pagi, tetapi tukang masak yang juga pakcik saya terlebih dahulu membuka kedai sekitar jam 10.20 pagi.

“Tukang masak saya orang terawal membuka pintu kedai dan ke dapur untuk memotong sayur tetapi dia ada maklumkan kepada saya terdengar bunyi orang terlanggar pintu. Sebaik jenguk tiada sesiapa di luar dalam keadaan pintu yang hanya ditarik separuh sahaja,” katanya.

Suspek curi tabung masjid berjaya dirakam melalui CCTV.

Azizan berkata, sebelum ini beberapa penduduk di sekitar Taman Saujana dan Taman Desa Harmoni pernah melihat tabung kosong dibuang.

Lebih dikesali apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premisnya mendapati tiga lelaki Melayu bermotosikal yang melarikan tabung tersebut.

“Saya syaki ini geng mencuri tabung masjid sebab sebelum ini saya ada nampak tabung-tabung derma kosong yang dibuang sekitar sini.

“Tergamak betul curi tabung yang orang nak bina masjid. Budak Melayu pulak tu,” katanya.

Menurut beliau, tabung terlibat merupakan usahasama Persatuan Tomyam Johor sejak tiga tahun lalu.

“Duit dalam tabung itu sudah separuh penuh dan selalunya pihak yang dipertanggungjawabkan sudah datang ambil untuk sedekah bagi pembinaan masjid di Pattani.

“Tapi disebabkan PKP kami biarkam dahulu,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian Jusoh Mamat, 50, mendakwa ketika kejadian, dia berada di bahagian dapur restoran berkenaan dan ada mendengar bunyi bising yang kuat di bahagian pintu masuk kedai makan berkenaan.

Ketika itu, menurutnya, pintu kedai hanya dibuka separuh memandangkan kedai masih belum beroperasi.

“Waktu bunyi kuat tu saya terus bergegas keluar tapi selepas itu saya tengok macam tiada apa-apa yang berlaku.

“Saya tidak perasan tabung masjid hilang sampailah majikan maklumkan tabung berkenaan sudah hilang,” ujarnya.-MalaysiaGazette