Dr. Zulkifli Mohamad AL-Bakri

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan kerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dalam membuat kutipan derma bagi membantu rakyat Palestin yang dizalimi regim Israel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beberapa mesyuarat dengan pihak-pihak terbabit telahpun dibuat ketika ini dalam usaha menjayakan hasrat itu.

“Pihak kami telah mengadakan hubungan dengan NGO dan mengadakan kutipan derma untuk digerakkan.

“Insyaallah, pada petang ini akan diadakan satu lagi mesyuarat untuk menentukan berapa jumlah yang telah diperolehi dan minggu depan kita akan menghantar bantuan itu kepada mereka yang berhak di kalangan penduduk Palestin sama ada di Gaza ataupun Tebing Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Webinar Bersamamu Palestin: Bicara Isu-Isu Konflik Israel-Palestin dengan tajuk Palestin Bumi Yang Diberkati hari ini.

Zulkifli turut mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang prihatin serta telah bermusyarakah mengenai isu Palestin dan berharap keprihatian itu diterima oleh Allah S.W.T.

Beliau turut berharap agar semua pihak yang terlibat dengan usaha membantu rakyat yang tertindas di negara berkenaan akan terus mendapat rahmat dan kesihatan berkekalan kerana usaha murni itu perlu diteruskan. – MalaysiaGazette