Serpihan kapal X Press Pearl yang mendarat di pantai Colombo, foto Agensi

COLOMBO – Lembaga Perlindungan Alam Sekitar Marin (MEPA) Sri Lanka berkata, bencana alam sekitar besar dijangka berlaku ekoran kebakaran kapal X Press Pearl berhampiran Pelabuhan Colombo.

Menurutnya, kesannya kejadian itu sedang dinilai.

Pengurus Besar MEPA, Terney Pradeep Kumara berkata, beberapa pasukan dari tentera laut Sri Lanka berada di lokasi dan cuba memadamkan api dan sebahagian besar serpihan kapal telah dibawa arus ke darat.

Katanya, serpihan itu terdampar di sepanjang garis pantai dari selatan ke barat dan lebih dari 1,000 petugas dikerahkan untuk melakukan operasi pembersihan.

Jumlah pekerja itu akan ditambah dalam beberapa hari lagi.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyentuh serpihan kapal kerana mungkin mengandungi bahan berbahaya, katanya.

Kumara menambah, sebuah jawatankuasa pakar telah dibentuk untuk menilai kerosakan alam sekitar dan mengkaji kemungkinan tumpahan minyak.

Menteri Pembangunan Bandar, Pemuliharaan Pantai, Pembuangan Sampah, dan Sanitasi Awam negeri Nalaka Godahewa memberitahu, sejumlah besar kehidupan laut telah terkorban akibat pencemaran dari kapal X Press Pearl.

Katanya, ikan, kura-kura, dan hidupan laut lain telah terbunuh dan lebih banyak spesis laut akan mati dalam beberapa hari lagi.

Tentera laut Sri Lanka dalam satu kenyataan berkata, pihaknya meneruskan usaha memadam kebakaran untuk memadamkan api di atas kapal yang terbakar dekat Pelabuhan Colombo pada 20 Mei lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast