Makan Konate. Foto Twitter TFC.

KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) akhirnya mempunyai pemain yang dipanggil untuk beraksi bersama skuad kebangsaan apabila pemain import, Makan Konate disenaraikan bagi beraksi bersama Mali.

Berita itu diumumkan oleh kelab tersebut di laman media sosial rasmi pasukan yang mana Konate menjadi satu-satunya pemain Mali yang beraksi di Asia dipanggil dalam skuad kali ini.

Sebelum ini, TFC berdepan isu dengan panggilan skuad kebangsaan apabila beberapa pemain mereka yang menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan liga tidak dipanggil bagi mewakili pasukan negara.

Pemain seperti Faisal Halim, Ariff Fadzilah, Hakimi Abdullah dan Muhammad Mohd Faudzi tidak disenaraikan dalam skuad Tan Cheng Hoe bagi menghadapi baki perlawanan peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 meskipun beraksi dengan baik dalam saingan liga domestik.

Konate menyertai pemain elit yang beraksi bersama kelab ternama Eropah dalam senarai panggilan kali ini seperti Yves Bissouma (Brighton & Hove Albion), Mousa Marega (Porto), Amadou Haidara (RB Leipzig) dan Moussa Djenepo (Southampton).

Mali akan berdepan Algeria, Kongo dan Tunisia dalam saingan kelayakan African Cup of Nations. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast