Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi membuat pemantauan Pematuhan Ops Had 2 Jam SOP PKP 3.0 di Mid Valley Mega Mall, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pemeriksaan rawak terhadap pengunjung yang berada di premis perniagaan khususnya kompleks beli belah oleh pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi Ops Had 2J diharap dapat memberi kesedaran.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kini rakyat Malaysia bukan sahaja perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengawal penularan Covid-19 yang semakin meningkat, bahkan mereka juga harus tahu kawalan kendiri yang patut dilakukan.

Ia termasuk mengurangkan pergerakan dan had berada dalam premis seperti yang ditetapkan kementerian itu, iaitu 2 jam.

“Penguatkuasa KPDNHEP memerlukan kerjasama dari pengguna dalam kawalan kendiri. Sebab kalau kawasan luas ini kalau nak pastikan setiap seorang pengunjung mungkin tidak cukup tenaga.

“Harap dengan cara begitu di dalam kawasan ini memberi kesedaran kepada pengguna agar mematuhi SOP tidak boleh melebihi dua jam dalam pusat membeli belah,” katanya.

Terdahulu beliau hadir di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur untuk menyertai Pemantauan Pematuhan Ops Had 2 Jam SOP PKP 3.0 yang bermula 26 Mei 2021.

Memasuki hari ketiga Ops berkenaan, Alexander berkata, sehingga kini tiada kompaun yang dikeluarkan oleh anggota penguatkuasa kementerian tersebut.

Katanya, selain penguatkuasa KPDNHEP, anggota polis dan petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga berhak memeriksa aplikasi MySejahtera para pengunjung premis perniagaan untuk memastikan pematuhan had 2 jam dipatuhi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberi penerangan mengenai Ops Had 2J yang dikuatkuasakan sejak 26 Mei 2021 kepada pengunjung pusat beli-belah Mid Valley di sini, hari ini.

“Pemeriksaan secara rawak untuk kita meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna supaya mereka rasa dipantau,” katanya.

Ops Had 2J memberi fokus terhadap pemantauan KPDNHEP di premis pasar raya, kompleks beli belah, pasar tani dan pasar malam yang menjadi tumpuan pengunjung.

Operasi itu akan melibatkan penguatkuasaan KKM, PDRM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sehingga kini sebanyak 144 premis perniagaan di seluruh negara telah diperiksa oleh anggota penguatkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast