KUALA LUMPUR – Istana Negara menangguhkan semua acara sempena sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Jun ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan Istana Negara berkata, ini berikutan peningkatan ketara jumlah kes jangkitan harian dan kematian baharu Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mulai 12 Mei hingga 7 Jun ini.
Beliau berkata, penangguhan itu juga adalah titah Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas mengambil kira factor keselamatan dan kesihatan umum serta untuk melindungi nyawa rakyat demi mengelakkan krisis kesihatan yang lebih buruk.
“Perkenan ini juga sebagai Langkah perlindungan kerana negara masih lagi menghadapi dan memerangi penularan wabak Covid-19.
“Semua acara ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, ini merupakan kali kedua semua acara sempena sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda ditangguhkan.
Tahun lalu, kata beliau, semua acara juga ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19.
“Bagaimanapun, tarikh 7 Jun ini telah ditetapkan dan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am atau cuti umum sempena sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda,” katanya. – MalaysiaGazette