Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan kenyataan media Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang dikatakan bersetuju dengan penetapan beberapa kriteria serta “threshold” dalam membuat penilaian sama ada darurat diteruskan atau ditamatkan.

Beliau berkata, kalau niat kerajaan hendak meneruskan darurat pada tarikh lain, apa guna berjanji darurat akan berakhir pada 1 Ogos ini.

Katanya, jika itu yang dirancang, ada baiknya jawatankuasa berkenaan menjelaskan kepada umum apakah terma dan rujukan pelantikan 19 anggota untuk menguruskan fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

“Rakyat tidak perlu kepada penubuhan sebuah jawatankuasa yang dianggotai 19 orang ternama ini untuk membuat keputusan sama ada darurat perlu disambung atau tidak.

“Cukup Perdana Menteri seorang yang membuat keputusan itu dan menasihati Yang Di Pertuan Agong. Tidaklah kerajaan perlu habis dan membazirkan wang rakyat dengan penubuhan jawatankuasa khas dan bebas ini,” katanya menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dalam kenyataan ringkasnya bersetuju dengan penetapan beberapa kriteria serta “threshold” dalam membuat penilaian sama ada darurat diteruskan atau ditamatkan.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu tidak mengulas secara terperinci isu tersebut dan akan terus bersidang dari semasa ke semasa dalam membuat penilaian berhubung kewujudan berterusan darurat atau penamatannya.

Jawatankuasa itu dianggotai 19 orang yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria yang ditubuhkan pada 9 Februari lalu.

Jawatankuasa dwiparti itu ditubuhkan bawah Seksyen 2 Ordinan 2021 (Kuasa-Kuasa Penting) Darurat dan berfungsi untuk menasihatkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengenai keadaan darurat di Malaysia dan penamatannya.

Menurut Zaid, walaupun Pakatan Harapan (PH) mewakilkan dua pemimpinnya dalam jawatan berkenaan iaitu Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Anthony Loke, mereka juga sama seperti wakil dari UMNO yang tidak menjadikannya bebas.

“UMNO sentiasa mengkritik kelemahan kerajaan, tetapi mereka juga kerajaan. Mereka tidak sedar yang mereka dipergunakan. Begitu juga nasib PH dalam jawatankuasa ini.

“Apa saja keputusan jawatankuasa ini untuk melanjutkan darurat selepas Ogos ini, mereka akan terikat kerana mereka juga menganggotai jawatankuasa yang mereka sendiri percaya ia bebas,” tambahnya.

Kata beliau, tidak pernah berlaku dalam sejarah negara yang telah banyak kali mengisytiharkan darurat ada sebuah jawatankuasa seperti itu untuk memberi nasihat kepada YDPA.

Katanya, di bawah Perlembagaan, tanggungjawab itu diberi kepada Kabinet atau Perdana Menteri, bukan Jawantankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

“Jawantankuasa ini bukan sahaja khas, tetapi bebas. Sesebuah jawatankuasa itu bebas dan bukan “rubber stamp” jika tindakan mereka bebas dari arahan atau pengaruh orang lain.

“Misalnya, jika Jawatankuasa itu mendapat taklimat dari orang kerajaan semata-mata, maka ia tidak bebas jika mereka hanya mendengar taklimat dari Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Menteri Kanan Ekonomi dan Menteri Kanan Pertahanan.

“Lainlah kalau mendapat input dari Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain, termasuk pakar dari bidang perubatan, tentu sukar hendak percaya mereka ini bebas,” ujarnya.

Namun, kata Zaid, beranikah jawatankuasa itu memanggil Dr. Mahathir, Anwar, Najib dan Datuk Seri Rafidah Aziz misalnya untuk mendapatkan nasihat yang baik? Tentu tidak sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast