Allegri kembali semula sebagai pengurus the Old Lady kali kedua selepas tinggalkan kelab itu pada 2019.

ROM – Dua perubahan besar dalam pengurusan tertinggi kelab Serie A Itali dalam tempoh 24 jam.

Berikutan pemecatan Pengurus Juventus, Andrea Pirlo semalam Massimiliano Allegri dilantik semula menerajui kelab tersebut beberapa jam selepas itu.

Pirlo, 42, yang merupakan bekas pemain Itali merupakan pilihan merupakan menggantikan Maurizio Sarri pada musim lalu.

Namun, harapan kelab itu untuk mempertahankan gelarannya berkubur selepas jentera serangan yang diketuai Cristiano Ronaldo menamatkan saingan liga di tempat keempat.

Ia merupakan kali pertama pasukan itu gagal mempertahankan gelarannya selepas lapan musim.

Allegri pula pernah menguruskan Juventus dari 2014 hingga 2019 dan menang gelaran Serie A selama lima musim berturut-turut dan empat Coppa Italia selain beraksi pada final Liga Juara-Juara Eropah sebanyak dua kali.

“Kini kelab sudah bersedia sekali lagi bersama Allegri untuk membina semula masa depan dengan menggunakan segala kepakaran dan profesionalisme, kekuatan moral serta idea dalam kejurulatihan di dalam dan luar padang,” kata Juventus dalam kenyataan hari ini.

Allegri, 53, tidak komited dengan mana-mana kelab lain sejak meninggalkan Juventus pada 2019.

Kejayaan Pirlo menjulang Piala Super Itali dan gelaran Coppa Italia gagal menyelamatkan daripada disingkirkan.

Sementara itu, Napoli melantik Luciano Spalletti sebagai pengurus baharunya berkuatkuasa serta merta bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Gennaro Gattuso.

Spalletti pengurus baharu Napoli berkuatkuasa serta merta hari ini.

Spalletti pernah membimbing Roma dan Inter Milan.

Gattuso meninggalkan Napoli selepas membantu kelab berkenaan menamatkan saingan Serie A musim 2020/21 di tangga kelima. – MalaysiaGazette