Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pergerakan keluar masuk dari tapak pembinaan dan tempat tinggal pekerja (CLQ) perlu dihadkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh bagi memastikan tidak ada penularan Covid-19.

Pihak kontraktor pembinaan juga perlu menyediakan pengangkutan kepada pekerja yang dihadkan kepada pergerakan antara penginapan atau CLQ dengan tapak pembinaan sahaja.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof, kontraktor juga perlu memastikan keperluan harian seperti keperluan makanan dan kebersihan diri pekerja tapak pembinaan disediakan untuk mengawal pergerakan.

Iai bagi melindungi pekerja dan penduduk tempatan daripada jangkitan wabak Covid-19 sepanjang tempoh PKP penuh bermula 1 hingga 14 Jun ini.

“Bagi mengelak penyebaran virus dari satu tapak pembinaan ke lokasi yang lain, semua pekerja binaan tidak dibenarkan berpindah dari satu tapak pembinaan ke lokasi yang lain dalam tempoh PKP,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Fadilah berkata, kontraktor pembinaan perlu melantik pegawai keselamatan dan kesihatan yang berperanan memantau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di tapak binaan.

Manakala pegawai penyelia projek juga perlu bertanggungjawab memastikan pematuhan SOP dipraktikkan semasa kerja pembinaan.

“Waktu beroperasi dan kehadiran pekerja yang dibenarkan adalah seperti biasa namun kapasiti pekerja dihadkan kepada 60 peratus sahaja.

“Semua pekerja (warga tempatan dan warga asing) di tapak pembinaan wajib menjalani Ujian Pengesanan Covid-19 sebelum memulakan kerja,”ujarnya.

Menurutnya lagi, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan mempertingkatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan SOP di tapak bina dan juga penempatan pekerja binaan.

Beliau turut memperincikan kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan semasa tempoh PKP iaitu melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal.

Kerja-kerja berkenaan adalah sekiranya tidak diteruskan boleh mendatangkan bahaya atau kemudaratan kepada pekerja, orang awam atau persekitaran, meliputi:

a) Penyelenggaraan dan pembaikan cerun, jalan raya, jambatan, kawalan pengurusan trafik (Traffic Management Control), dan lampu isyarat;

b) Pemeriksaan berkala dan pembaikan lif/ travelator/ escalator dan lain-lain peralatan mekanikal dan elektrikal yang kritikal;

c) Pembaikan, penyelenggaraan dan naik taraf fasiliti di premis-premis perkhidmatan kritikal;

d) Kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan dan pengeringan air bertakung, penyemburan racun serangga di tapak bina bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes dan lain-lain haiwan perosak;

e) Pembaikan dan penyelenggaraan landasan keretapi seperti MRT, LRT, komuter, single/ double track dan projek rel.
f) Pembaikan kediaman perseorangan dan

g) Pembinaan Bailey Bridge di lokasi jambatan roboh.

Kerja-kerja pembinaan melibatkan infrastruktur awam utama dan kritikal meliputi
a) Terowong;
b) Cerun
c) Jambatan dan viaduct;
d) Lebuhraya yang disahkan mencapai kemajuan fizikal lapan puluh(80%) dan ke atas;
e) Infrastruktur awam utama termasuklah MRT, LRT, ECRL, komuter, single/double
track dan projek rel;
f) Infrastruktur berkaitan elektrik, telekomunikasi, empangan, saliran dan
pembentungan, minyak dan gas;
g) Kerja-kerja hospital yang disahkan mencapai kemajuan fizikal lapan puluh (80%)
dan ke atas;
h) Kerja pembinaan bangunan yang mempunyai penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina.

C. Perkhidmatan profesional/ perunding yang terlibat bagi kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi seperti yang disenaraikan di item (A) dan (B) seperti di atas; dan

D. Perkhidmatan dalam rantaian bekalan yang terlibat bagi kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi seperti di item (A) dan (B) seperti di atas.

Kesemua kontraktor yang terlibat dengan projek-projek yang tersenarai di atas perlu mendapatkan kelulusan baharu menerusi CIMS CIDB di laman web cims.cidb.gov.my untuk tempoh PKP bermula 1 Jun 2021.

Manakala bagi syarikat perunding dan pembekal, permohonan kebenaran beroperasi perlu dibuat melalui kontrakor utama yang bertanggungjawab memasukkan maklumat semua syarikat perunding dan pembekal perkhidmatan yang berkaitan dengan projek berkenaan ke dalam sistem.

“Kesemua kelulusan sebelum ini tidak boleh diguna pakai dalam tempoh ini. Surat kebenaran yang dijana melalui sistem tersebut hendaklah dipamerkan di premis/tapak bina dan boleh digunakan sebagai kelulusan untuk pergerakan oleh semua pihak yang terlibat dengan projek yang diluluskan tersebut,” jelas Fadilah.-MalaysiaGazette