Tempoh masa keputusan ujian saringan Covid-19 yang memakan masa antara 48 hingga 78 jam perlu dipendekkan supaya usaha mengenal pasti kontak rapat dapat dipercepatkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tempoh masa keputusan ujian saringan Covid-19 yang memakan masa antara 48 hingga 78 jam perlu dipendekkan supaya usaha mengenal pasti kontak rapat dapat dipercepatkan.

Justeru Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie Mammal berharap agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mempertimbangkan cadangan itu dan melaksanakannya dengan segera.

Jelas beliau, tempoh keputusan saringan yang ada sekarang adalah satu tempoh yang lama dan memberi risiko berlaku penularan pandemik.

“UNI-MLC berpandangan bahawa ini penting untuk memutuskan kontak individu yang berpotensi daripada menyebarkan jangkitan kepada individu-individu lain sementara menunggu hasil ujian saringan.

“Malah, sesetengah individu tidak tahu mereka telah dijangkiti dan terus berhubungan dengan individu lain termasuk ahli keluarga mereka, di mana secara tidak langsung menjadi punca kepada jangkitan di pihak lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berharap agar KKM dapat menggembeleng usaha daripada pelbagai pihak termasuklah dari sektor kesihatan swasta untuk memperkukuhkan sistem ujian saringan dan pemakluman keputusan agar ia diperoleh dalam waktu yang singkat.

Dalam masa yang sama, kata Mohamed Shafie, pihak swasta pula diharap tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan caj yang tidak munasabah bagi mengendalikan ujian saringan Covid-19.

“Ini masa bagi sektor swasta mengamalkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu kerajaan dan negara dalam memerangi pandemik Covid-19,” tambah beliau.-MalaysiaGazette