Saturday, December 14, 2024
Home Nasional Lima lagi PPV mega dibuka di Selangor, KL – KJ

Lima lagi PPV mega dibuka di Selangor, KL – KJ

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin melihat para petugas melakukan persiapan ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin MITEC yang akan mula beroperasi pada 31 Mei di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membuka lima lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega di sekitar Lembah Klang bermula 7 Jun ini dalam usaha meningkatkan lagi proses pemberian vaksin kepada orang amai.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ketiga-tiga PPV mega akan membabitkan di Selangor manakala dua lagi di Kuala Lumpur.

Jelas beliau, PPV itu adalah Pusat Konvensyen The Mines dekat Seri Kembangan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam dan Pusat Konvensyen Setia City.

“Kita berharap pembukaan PPV mega ini akan meningkatkan lagi pemberian vaksin kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur yang kini mencatat kes harian tertinggi di negara ini,” katanya.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin MITEC di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 MEI 2021.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

MITEC menjadi PPV mega yang akan beroperasi esok dengan sasaran dapat meningkatkan lagi keupayaan pemberian vaksin kepada 6,000 orang sehari.

Khairy sebelum itu telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan antara lain turut bersetuju untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri itu menerusi perkongsian maklumat dan usaha untuk meningkatkan kadar suntikan vaksin.

Beliau yang juga Menteri Sains Dan Teknologi itu berkata, pembukaan PPV berskala mega akan diteruskan juga di negeri-negeri dalam masa terdekat.

“Minggu depan saya akan ke Pulau Pinang untuk membincangkan beberapa PPV mega di Pulau Pinang dan selepas itu saya akan ke Johor untuk berbincang dengan negeri Johor untuk pembukaan PPV mega,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin meninjau keadaan Pusat Pemberian Vaksin MITEC yang akan mula beroperasi pada 31 Mei di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 MEI 2021.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast