Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Semua sektor perkilangan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh (total lockdown) fasa pertama selama 14 hari bermula Selasa ini.

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran hanya diberikan kepada 12 jenis sektor perkilangan.

Jelas beliau, sektor itu ialah aero angkasa (komponen dan penyelenggaraan, baik pulih dan overhaul), makanan dan minuman, bahan pembungkusan dan percetakan berkaitan bahan makanan dan kesihatan.

Beliau berkata, sektor perkilangan lain yang dibenarkan berkaitan barang-barang penjagaan diri dan bahan pencuci dan keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan.

“Sektor perkilangan yang dibenarkan beroperasi juga perlu mengehadkan jumlah pekerja, iaitu setakat 60 peratus pekerja sahaja.

“Kita berharap sektor perkilangan yang dibuka itu akur dengan arahan dengan diberikan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang disiarkan secara langsung di sini hari ini.

Ismail Sabri menambah, pasar raya, pasar raya besar, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, mini mart, kedai runcit serta departmental store dibuka terhad kepada seksyen makanan, minuman dan keperluan asas sahaja.

Jelas beliau, turut dibenarkan restoran, gerai-gerai serta outlet makanan dobi termasuk layan diri, kedai penjagaan haiwan dan makanan haiwan serta kedai cermin mata dan barang optik.

“Selain itu, kedai hardware, bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti, E-dagang (semua kategori produk) dan pemborongan dan pengedaran semua kategori
produk perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan.

“Semua sektor perniagaan ini dibenarkan beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam sahaja,” katanya.

Pada 28 Mei lalu, kerajaan mengumumkan total lockdown Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.

Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan berkata, sepanjang total lockdown itu berkuat kuasa, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara. – MalaysiaGazette