Warga emas mengisi borang dan menunggu angka giliran di skrin untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 119 kes Covid-19 dikenalpasti dijangkiti menerusi virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI) hasil survelan genomik dijalankan secara berterusan sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah ini, sebanyak 14 kes adalah jangkitan import daripada luar negara manakala 105 kes lagi adalah jangkitan dalam negara.

Jelas beliau, daripada jumlah yang dikesan itu, 104 kes adalah VOC  dan 15 kes adalah VOI.

“Bagi VOC, (89 kes adalah varian B.1.351 di mana kesemua kes jangkitan dalam negara), sembilan kes adalah varian B.1.1.7 (5 kes jangkitan import dan empat kes jangkitan dalam negara) dan enam kes varian B.1.617 (kesemuanya jangkitan import).

“Untuk VOI (pula, 2 kes adalah varian P.3  di mana kesemua kes jangkitan dalam negara) dan tiga kes adalah varian B.1.525 (kesemua kes jangkitan import),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, virus Covid-19 jenis VOC telah dikesan di setiap negeri terutamanya bagi varian B.1.351 dan kemungkinan besar sudah pun berlaku penularan lebih meluas dalam komuniti bagi sekurang-kurangnya satu jenis VOC di semua negeri di Malaysia.

Kata beliau, memandangkan VOC di apati mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi, situasi itu perlu diambil serius oleh setiap individu.

Menurutnya, sekiranya rantaian jangkitan penularan tidak diputuskan, ia akan terus merebak dan lebih sukaruntuk membendung peningkatan kes Covid-19.

“Sehubungan itu, KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik dan memperbanyakkan ujian saringan Covid-19.

“Selain itu, KKM akan melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti,” katanya. – MalaysiaGazette