Menyedari wartawan dan pengamal media sebagai pasukan barisan hadapan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengeluarkan kenyataan yang membenarkan semua pekerja dalam sektor itu untuk menjalankan tugas masing-masing.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Menyedari wartawan dan pengamal media sebagai pasukan barisan hadapan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) membenarkan semua pekerja dalam sektor itu untuk menjalankan tugas mereka sepanjang perlaksanaan Periuntah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh mulai esok.

Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, kebenaran itu diberikan setelah meneliti permohonan yang dibuat oleh pengamal media.

“KKMM bersetuju untuk membenarkan agensi media ini beroperasi dalam tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, kementerian yang sama juga menegaskan kewajipan dan kebergantungjawapan pihak media yang dibenarkan beroperasi hendaklah mematuhi arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Malah kebenaran itu turut termaktub kepada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agensi media termasuk dalam 17 senarai perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh total lockdown.

Agensi media dimasukkan dalam perkhidmatan komunikasi, telekomunikasi, internet, pos dan kurier serta penyiaran (bagi tujuan penyampaian maklumat dan berita.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula esok sehingga 14 Jun depan. – MalaysiaGazette