Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Sebanyak 18 masjid dan surau di Pulau Pinang ditutup sejak 25 November 2020 sehingga kini akibat penularan Covid-19, kata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

JHEAIPP dalam satu kenyataan memberitahu, selain penutupan, pihaknya sebelum ini mendapati masih terdapat beberapa surau dan masjid gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Antaranya, jemaah tidak membawa sejadah sendiri dan tidak mematuhi penjarakan fizikal.

Jelasnya, pihak pengurusan masjid dan surau pula didapati tidak menyediakan persanitasi tangan, tidak menyediakan buku pendaftaran atau pengimbas kod QR MySejahtera.

“Selain itu, ada juga kes pengimbas suhu tidak berfungsi dengan baik. Pihak berkuasa akan terus menjalankan pemantauan dan JHEAIPP tidak akan bertanggungjawab sekiranya ada ahli kariah yang diambil tindakan undang-undang kerana gagal mematuhi SOP,” katanya.

Dalam perkembangan lain, JHEAIPP membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid atau surau negeri itu dengan kadar bilangan seramai 15 orang mengikut penjarakan fizikal satu meter.

Bagi jemaah solat Jumaat, mereka perlu mendaftar dalam rekod kehadiran selewat-lewatnya sehari lebih awal dan tidak mempunyai gejala Covid-19.

Keputusan itu dibuat hari ini selepas mengambil kira pandangan beberapa pihak termasuk Mufti Pulau Pinang mengikut garis panduan yang ditetapkan sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula esok.

“Kebenaran pelaksanaan itu diberi kepada jawatankuasa kariah, pegawai dan siak di masjid dan surau atau ahli kariah yang ditentukan.

“Manakala bagi masjid yang terletak di sekitar Georgetown dan tiada atau kurang ahli kariah tetap, mereka boleh dipilih dalam kalangan jemaah setempat menerusi pendaftaran awal.

“Ahli kariah yang terpilih atau secara penggiliran mestilah berusia 15 hingga 70 tahun,” jelasnya.

Tambahnya, arahan pelaksanaan aktiviti masjid dan surau akan dikeluarkan dari semasa ke semasa secara berperingkat mengikut perkembangan terkini Covid-19 dan pandangan Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast