Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 31 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat atau anggota polis yang terbabit dalam penahanan suspek di balai atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) diarahkan melakukan semakan kesihatan terhadap suspek.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia perlu dikuatkuaskan serta merta bagi mengelak insiden suspek meninggal mati ketika ditahan seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Sejak akhir-akhir ini, cara pengendalian tahanan juga sudah bertambah baik dan sudah pasti boleh dan akan terus diperbaiki pada masa akan datang.

“Malah, saya sudah mengarahkan pegawai penyiasat atau mana-mana pihak yang menahan suspek dan membawa mereka ke balai atau ibu pejabat polis daerah untuk siasatan supaya perlu membuat semakan kesihatan terlebih dulu melalui individu itu sendiri atau waris terdekat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Dewan Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurut Acryl Sani, pihaknya menyerahkan siasatan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) sekiranya terdapat salah laku polis pada insiden seumpama itu.

“Ketika ini, kita sedang berusaha membawa PDRM kepada perkhidmatan lebih baik serta dekat dengan masyarakat,” ujarnya.

Sebelum ini, IPD Gombak menafikan dakwaan keluarga A. Ganapathy, 40, yang meninggal dunia bahawa mangsa dipukul ketika dalam tahanan dan menderita akibat kecederaan pada kaki, lengan dan bahu.

Manakala pada Mei, seorang lagi tahanan dikehendaki dalam ugutan jenayah Sivabalan, 43, pula mengalami kesesakan nafas di IPD Gombak sebelum meninggal dunia ketika diberi rawatan oleh paramedik Hospital Selayang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast