KUALA LUMPUR – Seramai 1,052,145 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam.
Menerusi catatan di Twitter Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, seramai 1,860,864 individu telah menerima dos pertama menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 2,913,009 dos setakat semalam.
Menurutnya, lima negeri yang telah melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 139,427 dos diikuti Sarawak (109,934), Perak (97,558), Kuala Lumpur (94,398), dan Johor (92,231)
Setakat semalam, sebanyak 49.9 peratus atau 12,117,091 individu mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi sebanyak 3,223,832.
Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. – MalaysiaGazette