Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melaksanakan Program Trak Vaksin Bergerak bagi melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 di kawasan penularan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, antara yang akan diberi tumpuan ialah kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan tapak pembinaan.

Katanya, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk menggunakan trak bagi menjalankan inisiatif berkenaan di Kuala Lumpur.

“Kita akan mulakan pilot project (projek perintis) di projek perumahan rakyat (PPR) dan kawasan pembinaan yang masih beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di Putrajaya hari ini.

Tuurt serta pada sidang media itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, sebanyak 30 trak bergerak dijangka digunakan sepanjang tempoh awal tersebut dengan pihaknya menyasarkan kira-kira 100 dos pemberian vaksin sehari.

Ujarnya, kerajaan akan memutuskan program Trak Vaksin Bergerak akan diperluaskan kepada skala yang lebih besar.

Berhubung pemberian vaksin, Khairy berkata, setakat semalam (30 Mei), sebanyak 2,913,009 dos telah diberikan. – MalaysiaGazette