Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – UMNO menggesa kerjasama semua pihak terutamanya jentera dan pemimpin parti itu agar turun membantu rakyat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang mula dilaksanakan mulai esok.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sebagai parti terbesar Melayu, parti itu harus memainkan peranan untuk mendengar denyut nadi dan keluhan rakyat yang terhimpit ekoran pelaksanaan PKP penuh.

“Jentera UMNO di setiap peringkat harus berada dalam keadaan bersiap siaga dan sedia berkhidmat termasuk menyalurkan sumbangan kepada mereka yang terjejas ketika “total lockdown” ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.

Mengulas lanjut, Ismail yang juga menteri yang bertanggungjawab mengenai PKP berkata, UMNO perlu berpegang kepada tradisi sedia ada iaitu membela rakyat lebih-lebih lagi mereka yang menerima kesan langsung dan tidak langsung ekoran pelaksanaan PKP penuh kali ini.

“UMNO sememangnya berpegang kepada tradisi membela kebajikan rakyat yang menjadi teras perjuangan sehingga parti keramat ini terus kekal relevan sampai ke hari ini.

“Tradisi membela nasib rakyat perlu terus diperkasakan ketika pandemik Covid-19 ini. UMNO perlu menjadi juara membela nasib rakyat. Namun dalam melaksanakan tanggungjawab ini, pastikan pematuhan SOP sentiasa dijaga dan amalkan kawalan kendiri yang ketat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kanan Pertahanan menyeru agar seluruh rakyat negara ini terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sering dicanang beliau.

Malah katanya, kerjasama semua pihak amat diperlukan agar perjuangan bagi memutuskan rantaian Covid-19 dapat diputuskan selepas dilanda gelombang ketiga.

“Kitalah yang menjadi penentu kejayaan sama ada penularan wabak ini dapat diputuskan ataupun tidak.

“Dua minggu yang kritikal ini saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya patuh pada SOP yang telah ditetapkan dan duduklah di rumah jika tiada keperluan untuk keluar,” katanya lagi.

Penularan Covid-19 masih belum reda apabila sejumlah 6,824 positif direkodkan hari ini.

Malah kes kematian ekoran Covid-19 masih lagi tinggi dengan 67 kematian direkodkan hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast