Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Program ePenjana didapati telah meningkatkan kadar pengguna e-dompet di negara ini pada tahun lalu, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Program tersebut telah melihat pendaftaran 4 juta pengguna e-dompet baharu, dan lebih dari 36 ribu peniaga mendaftar dengan penyedia e-dompet.

“Harapan kami agar momentum ini terus dikekalkan melalui Pogram eBelia, sebagai kesinambungan usaha Kerajaan dalam memacu peralihan digitalisasi kewangan,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran Program eBelia, hari ini.

Program itu dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican secara maya.

Menurut Tengku Zafrul, tinjauan umum mendapati penyedia perkhidmatan e-dompet yang terlibat dalam eBelia mempunyai 30 juta pengguna aktif dan jaringan lebih 1 juta peniaga.

Malah di bawah pakej rangsangan seperti Penjana, sejumlah RM70 juta disalurkan dalam kempen e-Dagang PKS (Perusahan Kecil dan Sederhana) dan jumlah sama bagi Shop Malaysia Online bagi menggalakkan perbelanjaan masyarakat khususnya belia dalam talian.

“Melalui Belanjawan 2021 pula, kita ada pelbagai langkah khusus untuk belia, seperti Program Perantisan Nasional bernilai RM250 juta di mana setiap majikan diberikan insentif RM1,000 selama tiga bulan dan geran sehingga RM4,000 untuk program latihan.

“Program eBelia ini bernilai RM300 juta bagi membantu dan menggalakkan pembayaran tanpa tunai di kalangan belia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan turut mengutamakan golongan belia dalam menrangka Belanjawan 2022 yang telah bermula.

Malah sesi libat urus dengan golongan belia juga akan dibuat bagi merangka belanjawan penting negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast