Suasana kawasan yang kebiasaannya sesak dengan orang ramai menjadi lengang berikutan kerajaan melaksanakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penutupan penuh bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun ketika di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Suasana sekitar kawasan tumpuan di ibu negara lengang pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh Fasa 1 bermula hari ini sehingga 14 Jun depan.

Tinjauan MalaysiaGazette di dua lokasi berbeza membabitkan kawasan Bukit Bintang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) menyaksikan penutupan premis-premis perniagaan bukan keperluan.

Beberapa pusat beli-belah terkemuka yang dahulunya meriah dengan kehadiran pengunjung kini bertukar sunyi sepi apabila hanya beberapa seksyen tertentu sahaja dibenarkan untuk beroperasi dengan kebenaran kerajaan.

Suasana kawasan yang kebiasaannya sesak dengan orang ramai menjadi lengang berikutan kerajaan melaksanakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penutupan penuh bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun ketika di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2021.

Manakala hanya pengangkutan awam seperti bas, perkhidmatan e-hailing dan teksi dilihat berada di atas jalan-jalan utama dengan bilangan kenderaan persendirian pula berkurangan berbanding hari biasa.

Turut kelihatan kehadiran anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di tengah-tengah bandar raya menjalankan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis-premis yang dibenarkan beroperasi ketika penguatkuasaan PKP penuh ini.

Tiada kelibat orang awam di kedua-dua kawasan tumpuan berkenaan kecuali pekerja-pekerja di premis makanan yang menjalankan perniagaan dilihat termenung menunggu pelanggan.

Justeru situasi lengang di ibu kota menunjukkan masyarakat menjalankan tanggungjawab mereka dengan mematuhi SOP PKP bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak Covid-19 ini.

Dalam pada itu, turut kelihatan sebuah van dari unit hebahan Jabatan Penerangan Malaysia membuat pengumuman berkaitan pematuhan SOP, pelaksanaan PKP penuh serta maklumat berkaitan vaksinasi ketika melalui Jalan TAR.

Pada Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari hingga 14 Jun depan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, menerusi ‘total lockdown’ itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). – MalaysiaGazette