Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Semua sektor perkilangan ditutup kecuali 12 kategori sahaja yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, tegas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menegaskan, walaupun kebenaran beroperasi diberi kepada kilang berasaskan makanan dan minuman namun ia hanya untuk keperluan asas sahaja.

“Oleh itu, kilang minuman keras tidak termasuk dalam kategori keperluan asas dan kerajaan bersetuju supaya semua kilang minuman keras di seluruh negara ditutup serta-merta,” katanya dalam kenyataan kepada media  hari ini.

Semalam, tular surat yang dikatakan dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kononnya mengesahkan pendaftaran syarikat minuman keras, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP penuh yang bermula hari ini hingga 14 Jun ini.

Surat itu mengesahkan pendaftaran syarikat berkenaan dalam sistem MITI – Covid-19 Intelligent Management Sistem (CIMS 3.0) di bawah sektor makanan dan minuman.

Berikutan itu, ia menimbulkan pertanyaan banyak pihak termasuk pemimpin parti politik yang menuntut penjelasan terperinci daripada Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast