Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Isu peniaga kecil, Mohd Azizi Mohd Nor yang dikenakan kompaun RM50,000 kerana berniaga lebih masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) April lalu, selesai dengan mahkamah menetapkan denda RM500.

Kisah peniaga colek yang berniaga pada Ramadan lalu di Kampung Chekok Tengah, Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu ini mendapat perhatian Pemuda UMNO Malaysia dan Kelantan.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor, Mohd Azizi mendapat pembelaan sepenuhnya dari Sekretariat Peguam Muda dan Perundangan UMNO Malaysia yang membuat rayuan itu di mahkamah Kota Bharu.

Katanya, dalam penghakiman semalam, selepas mendengar hujah peguam Nik Saiful Adli Burhan dari Tetuan Irmohizam Rosley dan Nik Adli serta peguam Azwan Hussain dari Tetuan Rafizah Azwan dan Associates, hukuman RM50,000 dikurangkan kepada RM500.

“Kita bersyukur dengan keputusan ini dan Pemuda UMNO Kelantan sentiasa menjadi jambatan untuk penyelesaian masalah dan keluhan rakyat yang terhimpit dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ini.

“Peguam dilantik ini bagi memudahkan uruscara rayuan pengurangan kompaun kepada Jabatan Kesihatan Kelantan memandangkan Mohd Azizi tidak mampu membayar RM50,000 dari jumlah dikenakan.

“Alhamdulillah, berkat kemantapan hujah daripada pihak peguam kita dan pertimbangan seadilnya daripada hakim, peniaga ini hanya perlu membayar kompaun RM500 sahaja,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Kisah Mohd Aziz viral di media sosial apabila peniaga kecil yang menjual colek pada Ramadan lalu dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa.

Peniaga berusia 42 tahun itu yang berniaga di depan rumahnya mengakui terkejut apabila didatangi beberapa anggota polis pada jam 11.20 malam yang terus menulis kompaun dengan jumlah RM50,000 bagi kesalahan beroperasi lebih masa.

Menurut Noor Hariri, Pemuda UMNO Kelantan berpendirian, pihak berkuasa seharusnya menggunakan pertimbangan dan budi bicara dalam melaksanakan undang-undang di bawah Ordinan Darurat.

Katanya, mereka perlu mengambil kira situasi dan kondisi rakyat yang hakikatnya susah dan resah berjuang untuk kelangsungan hidup, sebelum mengenakan kompaun yang tinggi dan tidak setimpal dengan kesalahan.

Ujar beliau, dalam suasana pandemik Covid-19 yang benar-benar menekan situasi ekonomi rakyat ketika ini, prinsip keadilan disulami nilai ihsan mesti menjadi asas dalam menguatkuasakan apa juga bentuk perundangan dan peraturan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas kecaknaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Fareez Amran dan Exco Pemuda UMNO Malaysia yang juga peguam, Nik Saiful. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast