Lapan suspek termasuk lima wanita tempatan ditahan dalangi sindiket judi online dan penipuan pelaburan saham di empat unit kondominium mewah di jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Lapan suspek termasuk enam daripadanya wanita menjadi dalang sindiket judi dalam talian yang beroperasi di kondominium mewah.

Namun kegiatan haram mereka itu berjaya ditumpaskan pihak berkuasa yang menyerbu secara berasingan empat unit kediaman di kondominium yang terletak di Jalan Tun Razak semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, hasil kesemua serbuan tersebut polis berjaya menangkap empat wanita tempatan, dua lelaki dan dua wanita warga China berusia antara 21  hingga 31 tahun.

“Pemeriksaan lanjut di keempat-empat unit yang disewa kesemua suspek polis berjaya merampas sebanyak 17 komputer riba, lima monitor, tujuh set Unit Pemprosesan Pusat (CPU), tiga set papan kunci, sembilan unit tetikus disyaki digunakan untuk kegiatan itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Saiful Annuar, polis juga merampas 55 buah telefon bimbit pelbagai jenama, tiga modem, sembilan unit internal transfer, lapan keping kad ATM, tiga keping kad sim dan sebuah mesin pengira wang.

Kesemua barang yang dirampas semasa tangkapan itu bernilai sebanyak lebih kurang RM300,000 dan kesemua suspek  direman mulai hari ini bagi meneruskan siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu mempromosikan perjudian dalam talian dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

“Hasil siasatan awal, sindiket ini dipercayai mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian tanpa lesen serta penipuan pelaburan saham.

“Siasatan juga mendapati premis tersebut telah beroperasi sebagai pusat panggilan dengan bayaran sewa sebanyak RM10,000 sebulan bagi setiap unit dan setiap pekerja menerima upah antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan menguruskan kegiatan ini yang meraih keuntungan bulanan sebanyak lebih kurang RM300,000,” ujarnya.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh disalurkan Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.- MalaysiaGazette