Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebagai perkhidmatan perlu di bawah perladangan dan komoditi, subsektor sawit, getah, koko dan lada serta rantaiannya dibenarkan meneruskan operasi sepanjang pelaksanaan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 1 hingga 14 Jun ini.

Aktiviti ini melibatkan penuaian, pengumpulan, pengangkutan dan penyelenggaraan pada peringkat ladang, kebun serta tapak semaian boleh dilaksanakan dengan kehadiran pekerja pada tahap optimum.

Begitu juga bagi aktiviti dagangan subsektor agrikomoditi tersebut seperti jualan, belian, penggredan, pengangkutan dan pengumpulan serta input pertanian termasuk penyemaian anak benih, baja, racun, peralatan, alat ganti jentera dan mesin turut dibenarkan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, selain daripada itu, sebagai menyokong sektor tenaga sebagai salah satu perkhidmatan perlu, subsektor biodiesel dan rantaiannya juga dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun, kehadiran pekerja di kilang atau premis pemprosesan bagi subsektor yang dibenarkan iaitu sawit, getah, koko, lada dan biodiesel adalah tertakluk kepada had maksimum sehingga 60 peratus.

Bagi subsektor perabot, pembekalan produk kayu-kayan itu dibenarkan untuk kemudahan di hospital, Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) dan lain-lain berkaitan Covid-19.

Bagaimanapun, kementerian mengingatkan bagi aktiviti subsektor kayu-kayan dan kenaf adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh penutupan penuh PKP ini.

Sehubungan itu untuk kemudahan sementara, semua syarikat, estet dan pekebun kecil agrikomoditi bagi subsektor yang diluluskan, dibenarkan menggunakan surat kelulusan oleh KPPK dan agensi secara bersekali untuk beroperasi sebelum pendaftaran COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diluluskan.

Justeru, semua pemain industri terutama kepada majikan dan pekerja hendaklah memastikan SOP baharu yang telah ditetapkan dipatuhi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast