Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah beramah mesra dengan kakitangan pekerja semasa melakukan operasi pematuhan pejabat kerajaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penutupan penuh bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis memberi kelonggaran kepada pekerja sektor penting menggunakan surat majikan buat sementara waktu selepas menyedari berlaku kelewatan pengeluaran surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kelonggaran itu diberi dalam tempoh dua hingga tiga hari sahaja.

“Selepas tempoh kelonggaran tiga hari berkenaan pemeriksaan teliti akan dilakukan dengan mengemukakan surat kebenaran daripada MITI sahaja dan sekiranya gagal tindakan kompaun dikenakan kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas mengetui operasi pemeriksaan dan pematuhan SOP Kawalan Pergerakan Penuh (KPP) sepanjang dua minggu  berkuatkuasa hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, pemeriksaan lebih kerap dan tegas akan dilakukan di premis agensi awam dan swasta sekiranya polis menerima aduan jumlah pekerjanya melebihi daripada had ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

Tindakan agresif itu berikutan satu aduan yang diterima daripada seorang pekerja sebuah agensi kerajaan di Jalan Tun Razak di sini yang memaklumkan jumlah pekerja di agensi berkenaan tidak mengikut had ditetapkan.

Susulan daripada itu, pasukan Pemantau Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) membuat pemeriksaan di premis agensi berkenaan hari ini.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati hanya 20 kakitangan berada di premis berkenaan daripada 211 individu yang berkerja di agensi itu.

“Selain daripada aduan orang ramai, pasukan IPD Dang Wangi juga memantau secara berterusan di setiap agensi kerajaan serta syarikat swasta yang mempunyai jumlah kakitangan yang ramai di premis di sekitar daerah ini bagi memastikan majikan mematuhi had jumlah pekerja dibenarkan.

“Sekiranya dikesan melanggar peraturan berkenaan, maka polis tanpa kompromi akan mengambil tindakan tegas,” ujarnya.

Tambah Mohamad Zainal, pihaknya mengadakan lapan sekatan jalan raya (SJR) secara mobil di sekitar daerah Dang Wangi dalam usaha memastikan orang ramai mematuhi SOP.

Bagaimanapun beliau tidak memilih untuk mendedahkan lokasi tersebut.

“Kita tidak akan mendedahkan lapan lokasi SJR berkenaan yang menjadi antara laluan utama orang ramai menuju ke pusat bandar bagi memastikan tiada pihak keluar rumah bukan atas alasan kerja (sektor penting) atau urusan kecemasan.

“Fokus utama kami adalah memastikan pergerakan orang ramai hanya untuk perkhidmatan penting, mendapatkan keperluan harian, perubatan, kes kecemasan serta menerima vaksin.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang didapati melakukan pelanggaran SOP sepanjang tempoh dua minggu ini,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast