Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia perlu menghantar bantahan rasmi terhadap China berhubung pesawat tenteranya yang dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) di Sabah semalam.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan perlu bertindak pantas dengan tidak membiarkan kedaulatan negara diganggu gugat oleh pihak luar.

Menurutnya, insiden itu perlu disiasat dan tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja.

“Seperti yang dinyatakan oleh TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) insiden ini merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan dan keselamatan negara.

“Kami melihat insiden ini lebih serius apabila pesawat perisik Israel dibenarkan beredar di ruang udara Malaysia minggu lalu. Kini pesawat tentera udara China pula menceroboh ruang udara negara.

“Apakah sebenarnya niat dua negara ini terhadap Malaysia? Ini perlu disiasat,” katanya menerusi kenayataan hari ini.

Mohd Azmi menegaskan, kerajaan perlu segera menyampaikan bantahan tersebut kepada China dan tidak berkompromi dengan operasi tentera negara itu yang boleh dilihat sebagai provokasi.

Ujarnya, Malaysia tidak boleh menjadi negara yang hanya tunduk kepada percaturan kuasa besar dan rantau ini juga tidak boleh menjadi medan konflik buat mereka.

“Jika ruang udara negara kini menjadi laluan pesawat tentera udara negara luar, Malaysia boleh sahaja terperangkap dengan hegemoni kuasa besar yang berkepentingan,” tambahnya. – MalaysiaGazette