Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang hari ini memutuskan bayaran gaji Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) negeri itu akan dipotong selama sebulan untuk disalurkan ke Tabung Covid-19 Pulau Pinang.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda solidariti dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 di megeri itu.

Jelas Kon Yeow, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang yang bersidang hari ini.

“Sumbangan berkenaan akan digunakan dengan sebaiknya termasuk dalam aspek kesihatan awam dan juga pembangunan ekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan.

“Ini merupakan sumbangan kali kedua selepas kali pertama diputuskan pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Mac lalu, media melaporkan Kon Yeow dan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bersetuju menyumbang satu bulan gaji untuk Tabung Covid-19 negeri. – MalaysiaGazette