A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – “Bercelaru!,” kata Datuk A. Kadir Jasin.

Ini kerana soalnya, apakah tugas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengarahkan kilang arak ditutup.

“Bukankah ini bidang kuasa Menteri MITI (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali)?,” tanya bekas penasihat media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambung beliau lagi, kalau ikut tugas, tanggungjawab Ismail mempertahankan wilayah negara dari diceroboh.

Azmin pula menjaga industri termasuk kilang arak.

Kadir berkata, beliau bimbang Ismail Sabri yang sibuk tentang operasi kilang arak hingga wilayah negara diancam dan diceroboh.

Semalam, Ismail Sabri dalam kenyataannya berkata, semua sektor perkilangan ditutup kecuali 12 kategori sahaja dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Katanya, kilang minuman keras tidak termasuk dalam kategori keperluan asas, oleh itu semua kilang-kilang berkenaan di seluruh negara perlu ditutup serta-merta.

Pembukaan kilang arak menjadi persoalan umum selepas ia antara kilang yang diberi kelulusan MITI untuk dibuka. – MalaysiaGazette