KUALA LUMPUR – Pintu utama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Wangsa Maju sesak pada Isnin lalu gara-gara orang ramai mahu mendapatkan diskaun saman sehingga 70 peratus yang ditawarkan jabatan itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, satu rakaman video dikesan tular di laman Facebook yang memaparkan kesesakan itu sehingga tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Hasil semakan mendapati kejadian berlaku pada 31 Mei 2021 antara jam lebih kurang 1.00 petang hingga 2.00 petang.

“Kejadian ini berlaku berpunca orang ramai berebut untuk memasuki premis JPJ bagi urusan di kaunter JPJ yang mana hanya 50 nombor giliran sahaja dibuka pada sesi sebelah petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama dua minggu  bermula 1 Jun lalu, orang ramai mengambil kesempatan untuk mendapatkan diskaun itu walaupun hari terakhir pemberian diskaun pada 11 Jun ini.

Berikutan itu, katanya, anggota JPJ Wangsa Maju telah menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan bagi mengawal keadaan.

“Pasukan Pemantau SOP PDRM IPD Wangsa Maju telah hadir di lokasi untuk tindakan susulan segera dan setelah melihat kehadiran pihak polis, orang ramai telah bersurai dari lokasi tersebut bagi mengelakkan mereka dikenakan kompaun,” ujarnya.

Orang ramai yang melihat pelanggaran SOP bolehlah menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette